Batu Seremban

Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.

Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.

Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan.

Menentukan Giliran

Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung keudara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata.

Cara Bermain

Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.

Menimbang

Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Menimbang buah diperingkat ini ada dua kaedah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya.

Sekiranya pemain dapat bermain sehingga keperingkat menimbang dengan memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula, buah satu dan seterusnya sehingga mati.

Mati Permainan

Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.


No comments:

Post a Comment